Jumat, 28 Februari 2014

Kenyataan Penuh UiTM Melaka Berhubung Insiden Histeria

Kenyataan UiTM Melaka Berhubung Insiden Histeria


KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Universiti Tekonologi Mara (UiTM)) Melaka hari ini meminta semua pihak tidak memperbesar-besarkan insiden histeria yang berlaku di universiti tersebut dengan mendakwa ia cuma satu isu terpencil yang pernah terjadi di universiti berkenaan sebelum ini.
Unit Komunikasi Korporat UiTM Melaka melalui satu kenyataan memberitahu, kejadian histeria dan kehilangan peralatan serta aset pelajar di asrama universiti itu juga merupakan satu kejadian yang kadang-kala berlaku di universiti tersebut.
“Pengurusan UiTM melalui bantuan Pusat Islam (CITU), Unit Polis Bantuan dan Jawatankuasa Pengerak Masjid UiTM serta seluruh warga kampus telah berhadapan dengan isu seperti ini buat jangka masa yang lama.
“Namun sehingga hari ini tidak ada kes kronik hingga menyebabkan pelajar diberhentikan. Malah pelajar yang sering mengalami ilusi gangguan histeria (sebelum ini) telah berjaya menamatkan pengajian dan berkhidmat dipelbagai lapangan pekerjaan,” jelas kenyataan itu hari ini.
Justeru, kata kenyataan itu, UiTM Melaka meminta semua pihak tidak lagi memperbesarkan kejadian histeria di UiTM Melaka melalui medium sosial internet seperti blog, Facebook, twitter atau emel.
Kenyataan itu bagaimanapun mengakui kebanyakan pelajar yang terlibat dengan gangguan histeria di universiti itu adalah dalam kalangan pelajar wanita semester satu hingga tiga.
Ia dipercayai berkaitan dengan aspek psikologi yang berpunca daripada ketidakmampuan pelajar terbabit menyesuaikan diri dengan alam kampus.
Antaranya lambakan tugasan kuliah dan kejadian putus cinta menyebabkan golongan pelajar terbabit yang lemah semangat mudah terjebak dan terpengaruh dengan histeria apabila mereka mempercayai isu-isu mistik
“Perasaan takut dan resah menyebabkan pelajar ini mengalami histeria khususnya ketika mendengar sebarang bunyi atau bayangan mistik semasa melalui sesuatu lokasi.
“Potensi histeria merebak dari seorang individu kepada individu lain juga amat tinggi apabila golongan pelajar seperti ini mendengar rakan mereka menjerit,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, UiTM Melaka menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian pukau dalam kalangan pelajar yang menyebabkan sebilangan mereka kehilangan wang dan `harga diri’ kerana kes seperti itu didapati tidak tulen.
Bagaimanapun pihak universiti mengambil langkah efektif mengatasi isu yang timbul dengan menitikberatkan aspek kerohanian dan keagamaan dengan setiap kolej menerapkan pembudayaan membaca al-Quran, yasin serta menjaga kebersihan kampus.
Tambah kenyataan itu, pelajar yang kerap mengalami gangguan pula dirujuk ke pusat rawatan Islam oleh ibu bapa masing-masing dan pengurusan UiTM Melaka turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) disetiap blok asrama pelajar untuk mengatasi kejadian curi.
“Pelajar yang didapati mencuri akan didakwa di bawah Akta 174 Tatatertib atau dirujuk kepada pihak polis sekiranya perlu,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, UiTM Melaka beranggapan sebarang komen secara peribadi dalam kalangan pelajar mengenai insiden histeria perlu dielakkan kerana dibimbangi pandangan atau ulasan mereka lebih kepada ‘cakap dengar’.
Kata kenyataan itu, para pelajar disaran memberi tumpuan terhadap pelajaran kerana pemfokusan terhadap alam mistik tidak akan membantu mereka menamatkan pengajian dengan cemerlang.
UiTM Melaka bagaimanapun berjanji akan melayan dan mengambil bahagian secara serius untuk membantu menyelesaikan sebarang rungutan dan permasalahan pelajar.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar