Jumat, 14 Maret 2014

Rasuah Dua Polis Trafik Ke Penjara


SEREMBAN – Dua anggota polis trafik berpangkat koperal dan konstabel dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan denda sebanyak RM60,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan wang tunai berjumlah RM11,450 pada Ogos 2010.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 13 Julai lalu yang membebaskan dan melepaskan kedua-dua tertuduh.

Tertuduh, Koperal Manan Buang, 45, dan Konstabel Hardy Carlos Pressie, 27, kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan hakim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dari Pejabat Peronda Lebuh Raya Zon Selatan (Seremban-Ayer Keroh) didakwa meminta rasuah RM6,000 daripada pemandu lori, Azni Aziz sebagai dorongan tidak merampas mercun, bunga api dan rokok yang dibawanya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 259 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), arah Selatan di sini kira-kira jam 12 tengah hari, 22 Ogos 2010.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa menerima rasuah RM1,150 daripada Azni bagi tujuan sama di kawasan Pejabat Peronda Lebuh Raya Sektor 2, Zon Selatan, Lebuh Raya Seremban – Port Dickson – Mambau pada 12.45 tengah hari, hari yang sama.

Pertuduhan ketiga pula, pada jam 5.95 petang hari tersebut, mereka berdua juga didakwa menerima rasuah RM4,300 daripada pemandu lori terbabit sebagai dorongan memulangkan semula rokok yang dirampas.

Siti Mariah dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen telah terkilaf apabila membebaskan tertuduh dan menilai elemen-elemen serta bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Selepas meneliti semua hujah, bukti dan keterangan saksi serta tertuduh mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya.

Siti Mariah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan denda RM20,000 atau penjara 10 bulan jika tidak bayar bagi setiap kesalahan. Bagaimanapun, hukuman penjara itu dijalankan secara serentak.

Mahkamah turut membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan rayuan serta membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mukhriz Mat Rus manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin dan N. Seri Tharan. – Sinar Harian Online

Tidak ada komentar:

Posting Komentar